Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Dalam satu ucapan yang bertujuan menenangkan pasaran, Menteri Kewangan Britain Rachel Reeves menggariskan pelan kestabilan ekonomi di tengah-tengah pergolakan geopolitik global yang semakin memuncak. Reeves menegaskan bahawa pendekatan kerajaan sekarang adalah penting untuk melindungi rakyat daripada kejutan luar, walaupun terpaksa menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi Britain kepada 1.1% bagi tahun 2026.
Situasi ekonomi Britain kini berada di persimpangan yang sukar berikutan konflik di Timur Tengah. Peperangan tersebut telah menyebabkan harga minyak dunia melonjak 15% dan harga gas borong meningkat dua kali ganda. Ini secaar tidak langsung sekali gus mengancam untuk menaikkan semula kadar inflasi domestik yang sememangnya sudah sedia tinggi berbanding rakan sekutu G7 yang lain.
Reaksi segera pasaran dapat dilihat melalui kenaikan hasil bon kerajaan Britain, mencerminkan kebimbangan pelabur bahawa kos tenaga yang tinggi akan menghalang Bank of England daripada menurunkan kadar faedah pada tahun ini. Perkara ini boleh menjadi tamparan kepada pemilik rumah dan perniagaan yang mengharapkan pelonggaran kos pinjaman dalam masa terdekat.
Reeves dalam masa yang sama turut mengkritik pentadbiran Konservatif terdahulu, dan turut mempromosikan visi baharu yang menekankan keteramalan dasar. Beliau berharap hubungan perdagangan yang lebih erat dengan Kesatuan Eropah serta pembaharuan dalam menangani pengangguran belia dapat meyakinkan sektor swasta untuk kembali melabur di UK meskipun terdapat aduan mengenai beban cukai yang tinggi.
Dari perspektif fiskal, Reeves masih mempunyai sedikit ruang bernafas dengan sebanyak 23.6 bilion paun untuk memenuhi sasaran kewangannya. Walau bagaimanapun, ruang ini boleh terhakis dengan pantas sekiranya kerajaan terpaksa menangani subsidi tenaga baharu atau jika hasil bon terus melonjak akibat ketidaktentuan global.
Tuntasnya kestabilan politik pentadbiran Keir Starmer kini sedang diuji. Kekalahan pilihan raya kecil baru-baru ini dan tekanan daripada kumpulan pengguna untuk mengekalkan pembekuan duti bahan api meletakkan kerajaan dalam posisi defensif. Fokus kini beralih kepada bagaimana Reeves dan Starmer akan mengimbangi disiplin fiskal dengan tuntutan rakyat menjelang pilihan raya tempatan Mei ini.






















































