Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, memberi amaran keras kepada Iran dengan menyatakan bahawa negara itu berisiko “dibom kembali ke zaman batu” dalam tempoh terdekat.
Kenyataan tersebut disusuli oleh Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, yang menguatkan retorik sama melalui kenyataan ringkas di platform media sosial.
Istilah “zaman batu” merujuk kepada serangan berskala besar yang mampu memusnahkan infrastruktur moden secara menyeluruh, sekali gus melumpuhkan keupayaan asas sesebuah negara.
Ancaman ini bukan sesuatu yang baharu, sebaliknya mencerminkan pendekatan lama Washington yang kerap menggunakan tekanan ketenteraan dalam konflik geopolitik dan dalam banyak kes, melaksanakan ancaman tersebut.
Donald Trump Ingin Habiskan Iran
Dalam ucapan rasmi, Trump menegaskan bahawa serangan besar terhadap Iran berpotensi berlaku dalam tempoh dua hingga tiga minggu, walaupun rundingan masih berjalan.
Konflik semasa bermula pada 28 Februari apabila AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran, yang kemudian dibalas oleh Tehran dengan menyasarkan Israel serta beberapa negara Teluk.
Lebih 2,000 rakyat Iran dilaporkan terkorban setakat ini, dengan ribuan kemudahan awam seperti hospital, sekolah, universiti dan kilang farmaseutikal turut terjejas akibat serangan.
Pakar keselamatan global dari University of Oxford menyatakan bahawa sebarang serangan yang menyasarkan infrastruktur awam berpotensi melanggar undang-undang antarabangsa.
Infrastruktur moden seperti tenaga, telekomunikasi, industri awam serta kemudahan pendidikan dan perubatan dianggap sebagai aset awam yang dilindungi dalam konflik bersenjata.

























































