Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump melancarkan operasi ketenteraan terhadap Iran bersama Israel dengan alasan wujud ancaman segera terhadap Amerika Syarikat.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan tindakan itu perlu bagi melindungi keselamatan negara.
Namun di Capitol Hill, ahli Kongres mula membangkitkan isu berkenaan penetapan kuasa seorang Presiden Amerika Syarikat yang melampaui batas undang-undang negara.
Mengikut Perlembagaan Amerika Syarikat, kuasa mengisytiharkan perang terletak pada United States Congress, bukannya presiden.
Walaupun terdapat undang-undang 1973 yang dikenali sebagai War Powers Resolution yang membenarkan presiden bertindak dalam keadaan kecemasan, operasi tersebut tidak boleh berlarutan melebihi 60 hari tanpa kelulusan Kongres.
Senator Tim Kaine antara yang paling lantang mengkritik tindakan itu.
Beliau menyifatkan perang tersebut sebagai tidak perlu dan mahu Kongres segera mengundi bagi menentukan sama ada operasi itu wajar diteruskan. Baginya, keputusan sebesar ini tidak boleh dibuat seorang diri oleh presiden.
Seorang lagi senator, Mark Warner, turut mempersoalkan alasan ancaman tersebut. Katanya, tiada bukti jelas bahawa Iran menyerang atau hampir menyerang Amerika Syarikat.
Jika ancaman terhadap Israel dianggap sama seperti ancaman terhadap AS, itu membuka satu precedent baharu yang membimbangkan.
Menariknya, suara bantahan bukan hanya datang daripada Demokrat. Wakil Republikan Thomas Massie bersama Ro Khanna merancang membawa usul di Dewan Perwakilan bagi memaksa satu undian rasmi.
Mereka mahu setiap ahli Kongres direkodkan, menyokong atau menentang perang ini.
Namun realitinya, majoriti Republikan dijangka memihak kepada Trump. Jika pun usul itu diluluskan, presiden masih boleh menggunakan kuasa veto.
Untuk menolak veto memerlukan sokongan dua pertiga ahli di kedua-dua dewan dan ianya sesuatu yang jarang berlaku dalam suasana politik yang berpecah seperti sekarang.



























































