Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Iran baru-baru ini melaporkan bahawa Selat Hormuz, laluan laut yang paling penting untuk bekalan minyak dunia bakal menjadi laluan yang ‘berbayar’ ibarat ‘tol global’ dengan mengenakan caj kepada kapal yang ingin melintasinya, bukan lagi dalam dolar AS tetapi melalui kripto atau mata wang China, yuan.
Langkah ini bukan sekadar perubahan teknikal dalam sistem pembayaran, sebaliknya membawa mesej yang jauh lebih besar.
Iran dilihat cuba mengubah aturan permainan dengan mengurangkan dominasi dolar dalam perdagangan antarabangsa, di samping mengelak sekatan ekonomi yang dikenakan oleh Barat.
Dalam dunia yang semakin digital, penggunaan kripto pula membuka ruang transaksi yang lebih sukar dikesan, walaupun ia datang dengan risiko yang tinggi.
Namun, tidak semua kapal boleh melalui laluan strategik ini dengan mudah.
Iran dikatakan menggunakan sistem penarafan negara dari satu hingga lima bagi menentukan sama ada sesebuah kapal layak untuk melalui Selat Hormuz.
Negara yang dianggap ‘mesra’ akan mendapat kelebihan, termasuk kadar bayaran yang lebih rendah dan akses yang lebih mudah.
Bagi kapal tangki minyak, rundingan bayaran bermula sekitar $1 bagi setiap tong minyak.
Di sebalik strategi ini, wujud dilema besar bagi pemilik kapal dan syarikat perkapalan.
Mereka kini terperangkap antara dua kuasa besar iaitu Iran dan Amerika Syarikat dengan undang-undang, sekatan, serta risiko insurans yang tidak menentu.
Pembayaran melalui kripto, walaupun menarik dari sudut kerahsiaan, berkemungkinan tidak dilindungi oleh insurans, menjadikan setiap transaksi satu pertaruhan.
Ketegangan semakin memuncak apabila Donald Trump menyatakan hasrat untuk menamatkan konflik dengan Iran dalam tempoh dua hingga tiga minggu.
Namun realitinya jauh lebih rumit.
Serangan masih berterusan antara pihak terlibat, dengan Iran membalas menggunakan peluru berpandu dan dron, menjadikan rantau itu terus bergolak.
Jika langkah Iran ini berterusan, dunia mungkin bakal menyaksikan perubahan besar dalam cara perdagangan minyak dijalankan, dari dominasi dolar kepada sistem yang lebih berpecah dan tidak menentu.

























































