Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Lebih 500 stesen minyak utama di New South Wales (NSW) dan Victoria, Australia kini kehabisan petrol dan diesel, sekali gus menandakan kemerosotan serius dalam rantaian bekalan bahan api negara.
Data rasmi mendedahkan 520 stesen terjejas, dengan jumlah yang hampir seimbang antara kawasan bandar dan luar bandar.
Perdana Menteri NSW, Chris Minns mengesahkan bahawa 313 stesen di negeri itu menghadapi kekurangan bahan api, termasuk 187 yang kehabisan diesel sepenuhnya dan 32 stesen tanpa sebarang bekalan bahan api.
Dengan kira-kira 2,500 stesen minyak di NSW, angka ini menunjukkan gangguan yang signifikan dalam bekalan.
Sementara itu, Victoria pula mencatatkan 207 stesen minyak kehabisan petrol atau diesel. Daripada jumlah tersebut, 115 stesen tiada petrol manakala 92 lagi kehabisan diesel.
Taburan lokasi menunjukkan tekanan bekalan bukan sahaja tertumpu di bandar besar, tetapi turut melibatkan kawasan luar bandar dan kawasan serantau.
Krisis ini masih belum menunjukkan tanda reda dengan jumlah stesen terjejas terus berubah dari semasa ke semasa.
Minns mengakui bahawa syarikat minyak utama masih mampu membekalkan bahan api secara terhad. Namun, persoalan besar timbul mengenai ketidakstabilan rantaian bekalan serta punca kekurangan stok di kawasan tertentu.
Kerajaan NSW telah menjalankan dua inisiatif utama. Pertama, mewajibkan syarikat minyak melaporkan secara telus kaedah pengagihan lebihan bahan api, khususnya bekalan tambahan yang dilepaskan oleh kerajaan persekutuan.
Kedua, sebuah Pusat Operasi Kecemasan telah dibuka di Parramatta bagi memantau sektor kritikal seperti pembinaan, pertanian dan perlombangan serta memastikan pengagihan bahan api dapat dilakukan secara lebih terancang.
Menteri Tenaga Victoria, Lily D’Ambrosio menegaskan bahawa kerajaan negeri akan menggunakan data rasmi untuk mengenal pasti kawasan yang paling terjejas.
Selain itu, kerajaan negeri turut meningkatkan penguatkuasaan peraturan terhadap had harga serta memantau kenaikan harga bahan api di stesen minyak secara langsung.
Perdana Menteri Victoria, Jacinta Allan menolak cadangan pelaksanaan catuan bahan api secara unilateral dan menuntut pendekatan yang seragam di peringkat nasional.
Kerajaan negeri juga sedang merangka pelan kesinambungan bagi sektor utama termasuk pertanian dan penjagaan kesihatan sebagai langkah persediaan sekiranya krisis bekalan ini berlanjutan.
Jelas bahawa krisis ini bukan sekadar isu teknikal dalam bekalan bahan api.
Ia turut menimbulkan persoalan besar mengenai kebergantungan negara terhadap sistem pengedaran yang rapuh, tahap ketahanan stok yang rendah serta kemungkinan kelemahan dasar bekalan di peringkat persekutuan.
























































