Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Rancangan Donald Trump untuk menguasai Greenland ditolak apabila Perdana Menteri Greenland, Jens-Frederik Nielsen menegaskan rakyatnya memilih untuk kekal bersama Denmark berbanding Amerika Syarikat.
Dalam satu sidang media bersama Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen, Nielsen menyifatkan tekanan geopolitik yang sedang berlaku sebagai serius, namun tetap berdiri teguh dengan pendirian bahawa Greenland bukan untuk dijual atau dirampas.
“Kita sedang berdepan krisis geopolitik yang sebenar. Namun jika diberi pilihan antara Amerika Syarikat dan Denmark, kami akan memilih Denmark bersama NATO dan Kesatuan Eropah,” katanya dengan nada tegas.
Beliau turut menegaskan bahawa Greenland tidak bercita-cita untuk berada di bawah kawalan Amerika, sebaliknya hanya mahu meneruskan hubungan antarabangsa berasaskan dialog dan kerjasama.
Trump sebelum ini mendakwa Greenland penting untuk keselamatan AS bagi mengekang Russia dan China, malah White House pernah mencadangkan pembelian pulau itu tanpa menolak pilihan ketenteraan.
Namun, kenyataan terbaru Nielsen menandakan penolakan paling jelas dan lantang terhadap hasrat tersebut.
Sebagai reaksi, Trump memberi amaran tersirat bahawa pendirian Greenland itu mungkin membawa akibat buruk kepada wilayah berkenaan.
“Itu keputusan mereka… tetapi ia boleh menjadi masalah besar bagi mereka,” katanya ketika ditanya mengenai kenyataan Nielsen.
Ketegangan ini kini mencetuskan tanda tanya besar tentang masa depan hubungan AS-Greenland serta implikasinya terhadap politik Artik dan keselamatan global.


























































