Malaysia menegaskan bahawa negara itu tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal menghormati komitmen dalam perjanjian yang telah dipersetujui, termasuk melibatkan kerjasama pertahanan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendirian tegas itu dibuat susulan keputusan Norway membatalkan kontrak pertahanan dengan Malaysia walaupun sebahagian besar pembayaran telah pun diselesaikan.
Menurut beliau, tindakan tersebut menimbulkan persoalan mengenai kebolehpercayaan rakan kerjasama dan akan mempengaruhi pertimbangan Malaysia dalam menjalin hubungan serta perjanjian pada masa hadapan.
Malaysia telah menyampaikan bantahan keras kepada kerajaan Norway berhubung perkara itu dan menegaskan isu berkenaan tidak akan dianggap selesai begitu sahaja.
Anwar berkata keputusan membatalkan kontrak selepas perjanjian dimeterai dan pembayaran dibuat merupakan isu yang serius kerana melibatkan aspek keselamatan negara.
Beliau turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Støre, telah menyampaikan permohonan maaf berhubung perkara tersebut.
Sebelum ini, kerajaan Norway dilaporkan membatalkan eksport peluru berpandu antikapal Naval Strike Missile (NSM) kepada Malaysia, termasuk sistem pelancaran berkaitan, atas alasan melindungi kepentingan keselamatan negara itu.
Perkembangan itu dijangka memberi kesan terhadap pertimbangan Malaysia dalam sebarang kerjasama pertahanan atau perolehan strategik dengan Norway pada masa akan datang.

























































