Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Berjaya Assets Bhd telah melantik Tan Tee Ming sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Berjaya Assets, berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Keputusan itu dibuat selepas CEO terdahulu, Norlela Baharudin telah meletak jawatan untuk mengejar kepentingan peribadi.
Menurut kenyataan Berjaya kepada Bursa Malaysia semalam, Tee Ming yang merupakan abang ipar kepada Pengarah Eksekutif syarikat itu, Chryseis Tan Sheik Ling telah memegang kepentingan tidak langsung sebanyak 1.09 juta saham biasa dalam Berjaya Assets.
Tee Ming mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Pengurusan Perniagaan dari King’s College London dan memegang pelbagai jawatan di beberapa bank swasta di Malaysia dan Singapura.
Dalam pada itu, beliau turut memiliki pengalaman lebih 16 tahun dalam pengurusan kekayaan individu bernilai tinggi.
Tee Ming juga pernah dilantik sebanyai Pengurus Besar Kanan Bahagian Jualan dan Pemasaran Hartanah Berjaya Land Bhd pada 18 Mac 2017.
Selepas hampir 6 tahun memegang jawatan tersebut, Tee Ming dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Eksekutif Berjaya Land pada 1 April 2022 sebelum meletak jawatan pada 31 Disember 2025.
Pada jam 5 petang semalam, saham Berjaya Assets kekal tidak berubah pada 30 sen dengan 161,500 saham diniagakan serta permodalan pasaran sebanyak RM767.48 juta.
























































