Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Niaga hadapan saham Amerika Syarikat (AS) menunjukkan pergerakan bercampur-campur meskipun pasaran utama ditutup sempena cuti Hari Presiden.
Aktiviti dagangan di seluruh Asia juga dijangka bergerak dalam momentum perlahan memandangkan pasaran di China ditutup selama seminggu sempena cuti Tahun Baru Cina.
Dari segi prestasi indeks utama Wall Street, Dow Jones meningkat 0.10% kepada 49,500.93 mata, S&P 500 naik 0.05% kepada 6,836.17 mata, manakala Nasdaq Composite pula menyusut 0.22% kepada 22,546.67 mata.
Kejatuhan Nasdaq tersebut disebabkan oleh kerugian dalam sektor kewangan, perkhidmatan komunikasi, budi bicara pengguna dan teknologi.
Dalam pada itu, sentimen pelabur semakin merosot berikutan kebimbangan terhadap kos pelaburan kecerdasan buatan (AI) yang tinggi dan risiko gangguan struktur dalam industri.
Beberapa saham gergasi teknologi bermodal tinggi (megacap) termasuk Apple, Amazon, Meta, Alphabet dan Broadcom turut mengalami kemerosotan antara 2.3% hingga 8% sepanjang minggu lalu.
Tumpuan pelabur kini beralih kepada laporan pendapatan syarikat lain daripada Walmart, Booking Holdings, Deere & Company, Warner Bros dan Palo Alto Networks yang dijadual dikeluarkan minggu ini.


























































