Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dijadual mengundi cadangan bagi mengamankan Selat Hormuz susulan gangguan besar terhadap laluan perdagangan global.
Draf resolusi yang dikemukakan oleh Bahrain telah dilemahkan selepas menerima tentangan daripada China dan Rusia berhubung penggunaan kekuatan ketenteraan.
Cadangan terkini hanya membenarkan tindakan defensif bagi memastikan kapal dapat melalui selat tersebut dengan selamat, tanpa melibatkan operasi ofensif.
Selat Hormuz merupakan laluan kritikal yang mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia. Gangguan oleh Iran dalam konflik semasa telah menyebabkan lonjakan harga tenaga global.
Sebelum ini, draf asal memberi kuasa kepada negara untuk menggunakan segala jenis cara termasuklah tindakan ketenteraan, bagi menjamin keselamatan laluan di Selat Hormuz, Teluk dan Teluk Oman.
Namun, negara kuasa veto seperti China, Rusia dan Perancis menolak penggunaan kekerasan secara meluas, menyebabkan draf akhir dipinda dengan menyingkirkan elemen ofensif.
Cadangan baharu membenarkan penggunaan langkah defensif yang bersesuaian untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan, termasuk melalui kerjasama tentera laut pelbagai negara, dengan syarat pemberitahuan awal dibuat kepada Majlis Keselamatan PBB.
Perkembangan ini berlaku ketika Presiden AS, Donald Trump, memberi isyarat bahawa operasi ketenteraan terhadap Iran akan diteruskan dalam tempoh dua hingga tiga minggu akan datang, sekali gus menambah tekanan terhadap situasi serantau.
Dalam masa sama, Iran terus melancarkan serangan balas dan memperketat kawalan di Selat Hormuz, yang menjadi faktor utama ketidaktentuan pasaran tenaga global.
Wakil Rusia di PBB menyifatkan cadangan tersebut tidak menyelesaikan punca konflik, sambil menegaskan bahawa penyelesaian sebenar memerlukan penamatan permusuhan.
China pula memberi amaran bahawa penggunaan kekuatan ketenteraan boleh mencetuskan eskalasi lebih besar dan membawa kesan serius, selain menggesa pendekatan dialog dan pengurangan ketegangan.
Perancis turut menyokong langkah de-eskalasi, dengan memberi penekanan kepada penggunaan tindakan defensif yang terhad bagi mengelakkan konflik menjadi lebih luas.
Undian yang dijadualkan dijangka menjadi penentu kepada hala tuju keselamatan salah satu laluan perdagangan paling penting dunia, di tengah ketegangan geopolitik yang semakin memuncak.

























































