Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan mana-mana warga Israel yang didapati terlibat dengan Network School di Forest City akan dihantar pulang serta-merta jika siasatan mengesahkan kehadiran mereka.
Beliau menegaskan Malaysia tidak mengiktiraf Israel dan tidak akan membenarkan perkara itu berlaku.
Menurut Anwar, siasatan sedang dijalankan oleh agensi berkaitan bagi menyiasat dakwaan penglibatan warga Israel dalam program tersebut. Jika terdapat sebarang pelanggaran undang-undang atau syarat kemasukan ke negara ini, tindakan tegas akan diambil.
Sebelum ini, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menggesa siasatan menyeluruh dilakukan terhadap operasi Network School. Siasatan merangkumi identiti peserta, kewarganegaraan, penggunaan pasport kedua, jenis pas imigresen, tujuan kemasukan ke Malaysia serta status sebenar operasi sekolah itu.
Kerajaan Johor turut meminta Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Digital dan agensi berkaitan menyemak sama ada Network School mematuhi undang-undang serta keperluan pendaftaran di Malaysia.
Johor menegaskan tidak akan membenarkan mana-mana pihak menggunakan negeri itu sebagai pangkalan bagi aktiviti yang menjejaskan kedaulatan negara dan kepentingan Malaysia.


























































