Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Mata wang ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar AS di tengah-tengah kebimbangan sentimen pasaran terhadap kebebasan Federal Reserve (Fed) yang terus ditekan oleh kerajaan Washington berhubung pendirian dasar monetarinya.
Pada jam 10:42 pagi, ringgit dibuka pada 4.0540 iaitu mengukuh 0.15% berbanding dolar AS sejak dibuka pada awal dagangan Selasa di sesi Asia.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjelaskan bahawa kebimbangan terhadap kebebasan Fed dilihat memberi kesan kepada pengukuhan mata wang dolar AS sehingga menyaksikan Indeks Dolar AS (DXY) menyusut 0.24% kepada 98.894 mata.
Beliau turut menyatakan bahawa tekanan berterusan daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump terhadap Fed telah menjejaskan persepsi pelabur dalam menilai hala tuju dolar AS.
Ketegangan itu berpunca daripada tindakan bank pusat yang enggan melonggarkan dasar monetari.
Dalam pada itu, perkembangan ini dilihat berpotensi memacu kedudukan mata wang tempatan dalam tempoh jangka pendek dengan ringgit dijangka diniagakan dalam julat RM4.05 hingga RM4.06 berbanding dolar AS hari ini.
Pada pembukaan, ringgit didagangkan lebih kukuh berbanding sekumpulan mata wang utama lain.
Ia meningkat sedikit berbanding euro kepada 4.7345/7467 daripada 4.7435/7499, melonjak berbanding yen Jepun kepada 2.5677/5747 daripada 2.5717/5754 sebelum ini, namun menyusut berbanding pound Britain kepada 5.4641/4782 daripada 5.4630/4704.
Ringgit turut diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang ASEAN.
Ia meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 240.7/241.4 daripada 240.9/241.3, naik berbanding dolar Singapura kepada 3.1558/1644 daripada 3.1567/1613 dan menokok berbanding baht Thailand kepada 12.9852/13.0267 daripada 12.9961/13.0195 sebelumnya.
Bagaimanapun, ia kekal tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.85/6.87 daripada 6.85/6.86 semalam. – Bernama

























































