Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Mata wang ringgit dibuka lebih rendah berbanding dolar AS hari ini meskipun hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) dan kedudukan awal sesi Asia mencatatkan penurunan.
Kejatuhan itu turut disebabkan oleh Indeks Dolar AS (DXY) ditutup sedikit lebih tinggi.
Pada jam 9:50 pagi, ringgit didagangkan pada 3.8880 iaitu menyusut 0.15% berbanding dolar AS sejak dagangan Asia dibuka pada Jumaat.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi Negara IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan menjelaskan bahawa dolar AS meraih sedikit sokongan apabila laporan pasaran buruh AS menunjukkan sedikit pengukuhan.
Tuntutan pengangguran awal mingguan AS jatuh ke paras 212,000, mengatasi jangkaan konsensusu 217,000, namun masih melebihi angka 208,000 pada minggu sebelumnya.
Beliau turut menyatakan bahawa Indeks DXY ditutup sedikit tinggi sebanyak 0.09% kepada 97.797 mata, manakala minyak mentah Brent stabil sekitar $70.75 setong apabila rundingan antara AS-Iran dilihat semakin baik.
Pada pembukaan, ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang lain.
Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.4893/4978 daripada 2.4942 semalam, melonjak berbanding euro kepada 4.5796/5949 daripada 4.5853/5924 dan menokok berbanding pound British kepada 5.2345/2520 daripada 5.2573/2654 sebelum ini.
Pada masa yang sama, ringgit turut diniagakan lebih kukuh berbanding mata wang ASEAN.
Ia meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.4759/5269 daripada 12.5169/5435 dan menambah berbanding peso Filipina kepada 6.73/6.76 daripada 6.74/6.76.
Ia juga naik sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.0701/0809 daripada 3.0755/0805 dan mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 231.5/232.3 daripada 231.5/232.3 sebelumnya. – BERNAMA

























































