Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Mata wang ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS susulan peningkatan Indeks Dolar AS (DXY) ketika pasaran global menumpukan perhatian kepada data pekerjaan NFP yang akan diterbitkan malam ini.
Pada jam 10:25 pagi, ringgit dibuka pada 4.0630 iaitu menyusut 0.07% berbanding dolar AS sejak dibuka pada awal dagangan Jumaat di sesi Asia.
Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan menjelaskan bahawa pengukuhan dolar AS kini dipacu oleh hasil perbendaharaan yang tinggi dalam julat 4.1 hingga 4.2% dan bukannya faktor kebimbangan dalam pasaran.
Beliau turut menyatakan bahawa pasaran kini semakin menjangkakan kelembapan ekonomi yang lebih terkawal berbanding kejutan pertumbuhan yang drastik.
Sementara itu, minggu dagangan penuh pertama tahun 2026 bermula dengan prestasi kukuh, namun sedikit terjejas oleh peningkatan ketidakpastian geopolitik yang mendorong pelabur beralih kepada mata wang selamat (safe-haven).
Pada sesi pembukaan, ringgit didagangkan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang lain.
Ia menyusut berbanding pound Britain kepada 5.4613/4748 daripada 5.4535/4630, melemah berbanding yen Jepun kepada 2.5907/5972, namun meningkat sedikit berbanding euro kepada 4.7386/7502 daripada 4.7389/7471.
Ringgit turut diniagakan menyusut berbanding mata wang ASEAN.
Ia merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 241.9/242.6 daripada 241.5/242.1 dan menjunam berbanding dolar Singapura kepada 3.1627/1710 daripada 3.1602/1659.
Ia juga menurun berbanding baht Thailand kepada 12.9265/9645 daripada 12.8731/9007 dan menguncup berbanding peso Filipina kepada 6.86/6.89 daripada 6.85/6.87 sebelumnya. – Bernama


























































