Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Mata wang ringgit dibuka sedikit rendah berbanding dolar AS pada awal minggu apabila pelabur global kini kekal berwaspada dan memilih untuk mengurangkan pegangan dalam pasaran baru muncul.
Pada jam 10:26 pagi, ringgit dibuka pada 4.0620 iaitu menyusut 0.25% berbanding dolar AS sejak dibuka pada awal dagangan Isnin di sesi Asia.
Pengarah Strategi Pelaburan IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan menjelaskan bahawa tempoh pengurangan risiko lazimnya menyaksikan aliran modal beralih kepada dolar AS sebagai aset selamat, sekali gus meletakkan mata wang serantau, termasuk ringgit berada di bawah tekanan sementara.
Beliau turut menyatakan bahawa serangan tentera Amerika Syarikat (AS) terbaru ke atas Venezuela telah menambah nada pengurangan risiko, meskipun situasi itu tidak mengubah asas ekonomi Malaysia.
Situasi tersebut juga meningkatkan ketidakpastian geopolitik yang cenderung meningkatkan permintaan untuk aset AS dan mengukuhkan kekuatan dolar dalam jangka pendek.
Sementara itu, minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS pada Disember turut menyokong kenaikan dolar AS.
Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding mata wang utama.
Ia merosot berbanding pound kepada 5.4527/4662 daripada 5.4509/4569, menyusut berbanding euro kepada 4.7499/7616 daripada 4.7488/7540 dan merudum berbanding yen Jepun kepada 2.5845/5911 daripada 2.5817/5848.
Ringgit didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.
Ia merosot berbanding peso Filipina pada 6.89/6.91 daripada 6.88/6.89 dan melemah berbanding dolar Singapura kepada 3.1506/1586 daripada 3.1502/1540.
Bagaimanapun, ia meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.8662/9073 daripada 12.8996/9201 dan tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 242.6 daripada 242.2/242.6 sebelum ini.- Bernama


























































