Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Mata wang ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar AS hari ini, disokong oleh sentimen risiko pasaran global yang semakin pulih di tengah-tengah konflik AS-Iran yang berterusan.
Pada jam 9:36 pagi, ringgit didagangkan pada 3.9350 iaitu melonjak 0.63% berbanding dolar AS sejak dibuka pada awal dagangan Selasa di sesi Asia.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid memaklumkan bahawa pasaran ekuiti Amerika Syarikat (AS) kembali pulih manakala hasil Perbendaharaan AS merosot dan harga minyak mentah Brent menjunam di bawah $100 setong.
Perkembangan ini berlaku selepas Presiden Donald Trump memberi kenyataan bahawa konflik geopolitik di Iran akan berakhir tidak lama lagi.
Mohd Afzanizam turut menyatakan bahawa walaupun kepastian mengenai perjanjian tersebut masih belum dimuktamadkan, namun pasaran ekuiti terus menunjukkan trend peningkatan.
Pada pembukaan, ringgit didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.
Ia menyusut berbanding pound British kepada 5.2910/3158 daripada 5.2809/2896, merosot berbanding euro kepada 4.5786/6001 daripada 4.5738/5813, namun meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.4967/5086 daripada 24992/5035 semalam.
Ringgit turut diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang ASEAN.
Ia meningkat sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.0910/1058 daripada 3.0925/0978, menokok berbanding peso Filipina kepada 6.62/6.66 daripada 6.65/6.67 dan menambah berbanding rupiah Indonesia kepada 232.5/233.7 daripada 233.5/234.0 sebelum ini.
Walau bagaimanapun, ia melemah berbanding baht Thailand kepada 12.4095/4787 daripada 12.3345/3617 sebelumnya. – BERNAMA

























































