Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Ringgit menunjukkan tanda pemulihan yang memberangsangkan apabila kembali menghampiri paras psikologi 3.99 berbanding dolar USD, dipacu oleh sentimen pasaran global yang semakin positif.
Pada jam 10 pagi, ringgit berada pada paras 3.9870 berbanding USD iaitu positif 1.02% sejak ia dibuka pada awal dagangan Rabu di sesi Asia.
Perkembangan ini susulan pengumuman Presiden AS, Donald Trump, yang menangguhkan tindakan ketenteraan terhadap Iran selama dua minggu selepas rundingan diplomatik melibatkan pemimpin Pakistan.
Menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, langkah penangguhan tersebut boleh dianggap sebagai satu bentuk ‘gencatan dua hala’ yang memberi kelegaan sementara kepada pasaran kewangan global.
Pada masa sama, harga minyak mentah Brent turut mencatat kejatuhan ketara sebanyak 15.70 peratus kepada sekitar $92.12 setong, manakala Indeks USD (DXY) susut kepada 99.635 mata.
Kedua-dua faktor ini secara tidak langsung menyokong pengukuhan ringgit, memandangkan kelemahan USD sering memberi kelebihan kepada mata wang negara membangun.
Dari sudut perbandingan mata wang lain, ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5187/5238 daripada 2.5229/5258 ketika ditutup pada Selasa.
Bagaimanapun, ia menyusut berbanding euro kepada 4.6719/6806 daripada 4.6566/6618, serta turun berbanding pound Britain kepada 5.3570/3671 daripada 5.3425/3484.
Walaupun begitu, prestasi ringgit dalam kalangan mata wang ASEAN kekal memberangsangkan.
Mata wang tempatan itu mencatat pengukuhan berbanding dolar Singapura kepada 3.1331/1392 daripada 3.1381/1419, mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 233.6/234.2 daripada 235.4/235.8, serta naik berbanding peso Filipina kepada 6.63/6.64 daripada 6.68/6.69 sebelumnya.
Ringgit susut berbanding baht Thailand kepada 12.4572/4879 daripada 12.3809/4021. – Bernama
























































