Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Mata wang ringgit dibuka sedikit rendah berbanding dolar AS apabila ketegangan yang semakin meningkat di Asia Barat melemahkan selera risiko pelabur.
Pada jam 9:49 pagi, ringgit berada pada paras 3.9260 iaitu menyusut 0.05% berbanding dolar AS sejak sesi dagangan dibuka pada awal pagi Jumaat di sesi Asia.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjelaskan bahawa sentimen pasaran menjadi semakin berhati-hati kerana pelabur kini memilih pendekatan penghindaran risiko dan lebih gemar menyimpan wang tunai.
Sementara itu, harga minyak mentah Brent melonjak 9.86% kepada $101.05 setong ekoran ketegangan geopolitik antara AS-Iran yang terus menjadi tumpuan utama.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berikrar untuk membubarkan rejim Iran dengan menyatakan bahawa kenaikan kos minyak adalah perkara kedua baginya.
Pada masa yang sama, Pemimpin Agung Iran yang baharu, Mojtaba Khamenei akan berusaha untuk menutup Selat Hormuz sebagai sebahagian daripada strategi pertahanan negara berkenaan.
Pada pembukaan, ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.
Ia meningkat berbanding euro kepada 4.5249/5393 daripada 4.5361/5408, melonjak berbanding yen Jepun kepada 2.4666/4746 daripada 2.4720/4746 dan menambah berbanding pound British kepada 5.2436/2603 sebelum ini.
Ringgit turut diniagakan lebih kukuh berbanding mata wang ASEAN.
Ia naik berbanding baht Thailand kepada 12.2090/2554 daripada 12.3257/3452 dan menokok berbanding peso Filipina kepada 6.61/6.64 daripada 6.60/6.62.
Ia juga mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0715/0817 daripada 3.0786/0820 dan tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 232.5/233.3 daripada 232.2/232.6 sebelumnya. – BERNAMA























































