Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Mata wang ringgit dibuka sedikit lemah berbanding dolar AS apabila pelabur kini memilih pendekatan berhati-hati menjelang minggu yang sibuk dengan penerbitan data pasaran buruh Amerika Syarikat (AS).
Pada jam 10:04 pagi, ringgit dibuka pada 4.0480 iaitu menyusut 0.10% berbanding dolar AS sejak dibuka pada awal dagangan Rabu di sesi Asia.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi Negara IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan menjelaskan bahawa tindakan pelabur yang memilih mengekalkan pendekatan defensif telah memberi tekanan kepada mata wang pasaran pesat membangun seperti ringgit pada awal dagangan.
Dalam pada itu, data ekonomi AS yang bakal menjadi tumpuan utama minggu ini adalah Tinjauan Tawaran Pekerjaan dan Jumlah Tenaga Kerja AS (JOLTS) dan data pekerjaan ADP.
Pada pembukaan, ringgit didagangkan lebih kukuh berbanding mata wang utama.
Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5836/5902 daripada 2.5865/5899, melonjak berbanding euro kepada 4.7303/7420 daripada 4.7373/7432 dan menambah berbanding pound Britain kepada 5.4637/4772 daripada 5.4742/4810 sebelum ini.
Ringgit turut diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.
Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1604/1684 daripada 3.1608/1649 dan menokok berbanding rupiah Indonesia kepada 241.5/242.2 daripada 243.1/241.7.
Bagaimanapun, ia merosot berbanding baht Thailand kepada 12.9678/13.0094 daripada 12.9383/9592 dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.83/6.85 daripada 6.83/6.84 semalam. – Bernama

























































