Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Nilai mata wang Indonesia, rupiah mencatatkan penurunan secara mendadak berbanding dolar AS pada sesi dagangan Selasa lalu.
Menurut data Refinitiv, rupiah menyusut 0.21% kepada Rp16,860 berbanding dolar AS, sekali gus merekodkan nilai terendah sejak April tahun lalu dan hampir mencecah rekod terendah dalam sejarah.
Ahli ekonomi Maybank Indonesia, Myrdal Gunarto menjelaskan bahawa kelemahan mata wang rupiah disebabkan oleh aliran keluar dana asing terutamanya dalam pasaran bon kerajaan.
Beliau turut menegaskan bahawa tekanan tersebut masih dalam kawalan dan Bank Negara Indonesia (BNI) mempunyai peluang yang mencukupi untuk campur tangan bagi menstabilkan nilai rupiah semula.
Dalam pada itu, paras rintangan kukuh bagi rupiah kini berada pada Rp16,992, menunjukkan terdapat ruang untuk pemulihan sekiranya langkah tepat diambil.
Ketegangan geopolitik global termasuk konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Venezuela, Rusia dan Ukraine, serta ketidaktentuan di Laut China Selatan telah mendorong pelabur kini beralih kepada dolar AS.
Pada masa yang sama, permintaan tinggi terhadap dolar AS telah menjejaskan mata wang pasaran yang sedang pesat membangun seperti rupiah.
Ketua Ekonomi Permata Bank, Josua Pardede menyatakan bahawa kelemahan mata wang rupiah juga berpunca daripada gabungan tekanan luar dan kepekaan pasaran terhadap isu domestik.
Pengukuhan dolar AS dan ketidaktentuan harga minyak dunia telah meningkatkan kebimbangan terhadap defisit akaun semasa Indonesia yang semakin memuncak akibat peningkatan kos import tenaga.
Sementara itu, kelemahan mata wang yen dan lonjakan harga minyak memaksa pelabur beralih kepada aset yang lebih stabil dan mudah dicairkan.
Situasi tersebut turut dipengaruhi oleh pelbagai faktor domestik dan global termasuk ketidaktentuan dasar di negara maju, perubahan kadar faedah global, turun naik harga komoditi, serta kebimbangan terhadap pertumbuhan ekonomi rakan dagang utama telah mencetuskan aliran modal secara besar-besaran.
Josua meramalkan rupiah mungkin mencecah paras Rp16,900 dalam tempoh terdekat, memandangkan pergerakan harga yang melepasi julat normal jangka pendek dan tekanan intraday yang semakin ketara.
BNI kini perlu bertindak pantas bagi memastikan kelemahan nilai wang rupiah tidak menjadi semakin buruk sehingga menjejaskan kestabilan asas ekonomi negara.

























































