Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Pasaran saham Amerika Syarikat (AS) ditutup lebih rendah pada awal pagi ini selepas merekodkan pergerakan stabil semalam.
Kejatuhan itu disebabkan oleh kebimbangan terhadap kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang boleh menjejaskan pelbagai industri.
Sentimen pasaran juga mendapat tekanan daripada ancaman tarif Presiden Donald Trump yang baru sahaja memutuskan kenaikan tarif global daripada 10% kepada 15%.
Selain itu, ketegangan geopolitik antara AS-Iran turut mewujudkan situasi tegang di pasaran selepas rundingan nuklear antara kedua-dua negara masih tertangguh.
Dari segi prestasi indeks utama, Dow Jones melemah 1.66% kepada 48,804.06 mata, S&P 500 merudum 1.04% kepada 6,837.75 mata, manakala Nasdaq Composite pula menyusut 1.13% kepada 22,627.27 mata.
Dalam perkembangan lain, syarikat perisian dan pembayaran turut mengalami kerugian besar disebabkan oleh kebimbangan terhadap penggantian AI, dengan saham IBM menjunam 13.1% selepas Anthropic memperkenalkan alat pengekodan baharu.
Saham syarikat lain turut mengalami kejatuhan dengan CrowdStrike merosot (9.9%), Oracle (4.6%), Visa (4.5%), Mastercard (5.8%) dan Applovin (9.1%).
Kebanyakan pelabur kini akan memerhatikan pengumuman laporan pendapatan utama minggu ini daripada Home Depot, Nvidia, Salesforce dan Snowflake.


























































