Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Pasaran saham Amerika Syarikat (AS) mencatatkan kemerosotan pada sesi dagangan Khamis selepas indeks-indeks utama berada di bawah tekanan jualan yang tinggi pada sesi sebelumnya.
Kejatuhan ini berlaku susulan kebimbangan terhadap kadar inflasi yang kembali menghantui Wall Street.
Dari segi pergerakan indeks utama hari ini, S&P 500 menyusut 1.36%, Nasdaq Composite jatuh 1.46%, manakala Dow Jones pula menjunam 1.63% ke paras terendah sejak November tahun lalu.
Sentimen pasaran menjadi tidak menentu berikutan data Indeks Harga Pengeluar (PPI) yang tinggi serta unjuran inflasi Federal Reserve (Fed) yang semakin meningkat.
Beralih kepada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) bagi Mac, penggubal dasar bersetuju untuk mengekalkan kadar faedah stabil pada 3.5% – 3.75%.
Keputusan tersebut mencerminkan pendirian tegas Fed dalam menolak desakan Presiden Donald Trump yang mahukan penurunan kadar faedah dilakukan dengan segera.
Sebelum ini, pelabur menjangkakan bank pusat akan mengekalkan kadar faedah sepanjang tahun ini, meskipun Fed memberi isyarat bahawa satu pemotongan sebanyak 25 mata asas bakal dilaksanakan.
Bagi prestasi saham individu, saham Micron Technology merosot 5%, meskipun syarikat itu melaporkan peningkatan mendadak dalam pendapatan suku tahunannya.






















































