Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Pasaran saham Amerika Syarikat (AS) memulakan awal dagangan pada minggu ini dengan prestasi mengecewakan apabila indeks-indeks utama mencatatkan kemerosotan.
Pada pembukaan, Dow Jones menjunam 1.05% kepada 48,977.92 mata, S&P 500 menyusut 0.43% kepada 6,878.88 mata, manakala Nasdaq Composite pula menurun 0.92% kepada 22,668.21 mata.
Kejatuhan itu disebabkan oleh konflik yang semakin memuncak di Asia Barat antara Iran dan AS-Israel yang menjejaskan pasaran kewangan global.
Situasi geopolitik menjadi semakin buruk selepas AS dan Israel melancarkan serangan ketenteraan ke atas Iran pada Sabtu lalu.
Serangan tersebut turut mengakibatkan Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei beserta anak perempuan, menantu lelaki dan cucu perempuannya terbunuh dalam insiden berkenaan.
Dalam pada itu, Persatuan Bulan Sabit Merah mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya 201 orang terbunuh dalam serangan AS-Israel di beberapa lokasi semalam, manakala lebih 700 orang lagi cedera.
Justeru, Iran mengumumkan tempoh berkabung selama 40 hari dan tujuh cuti umum atas pemergian Ayatollah.
Pada masa yang sama, Kor Pengawal Revolusi Iran berikrar akan menjatuhkan hukuman keras terhadap pihak yang membunuh pemimpin berpengaruh itu sebagai tindak balas terhadap insiden kejam berkenaan.
Susulan tindakan kejam terbabit, Tehran membalas dengan melancarkan serangan ke atas aset AS di negara-negara Asia Barat lain termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, Qatar, Bahrain, Arab Saudi, Iraq, Jordan dan Syria.

























































