Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Wall Street ditutup lebih tinggi pada sesi dagangan Selasa apabila saham tenaga melonjak tinggi, sekali gus memacu indeks Dow Jones melonjak ke paras tertinggi sepanjang masa.
Dari segi prestasi indeks utama, indeks S&P 500 meningkat 0.64% kepada 6,902.05 mata, Nasdaq Composite mengukuh 0.69% kepada 23,395.82 mata dan Dow Jones pula melonjak 1.23% kepada 48,977.18 mata.
Kenaikan tersebut turut dipacu oleh saham tenaga yang melonjak selepas serangan tentera AS ke atas Venezuela dan penahanan Presiden Nicolas Maduro bersama isterinya, Cilia Flores.
Indeks tenaga S&P 500 meningkat 2.7% ke paras tertinggi sejak Mac 2025, dengan saham berwajaran tinggi iaitu Exxon Mobil dan Chevron masing-masing melonjak.
Para pelabur kini bertaruh bahawa tindakan Washington menentang kepimpinan Venezuela akan membolehkan syarikat Amerika Syarikat (AS) mengakses rizab minyak terbesar dunia itu.
Dalam pada itu, pentadbiran Presiden Donald Trump juga merancang bertemu dengan pegawai eksekutif daripada syarikat minyak AS minggu ini untuk membincangkan peningkatan pengeluaran minyak di Venezuela.
Pada masa sama, saham kenderaan elektrik (EV), Tesla meningkat 3.1% selepas syarikat itu merekodkan kerugian selama tujuh sesi berturut-turut. Nvidia menyusut 0.4% dan Apple merosot 1.4%.
Tumpuan utama minggu ini akan terarah kepada data pekerjaan NFP bulan Disember pada Jumaat yang dijangka mempengaruhi dasar monetari Federal Reserve (Fed) pada tahun 2026.
Menurut data LSEG, pasaran kini menetapkan harga untuk pelonggaran kadar faedah kira-kira 60 mata asas pada tahun ini.



























































