Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS (SEC) mengumumkan rancangan besar untuk meluncurkan kerangka pengawalseliaan kripto yang dinamakan “Regulation Crypto” seawal bulan Julai ini. Langkah ini sekali gus membawa industri selangkah lebih dekat kepada pembentukan regulatory safe harbor (zon selamat kawal selia) bagi aktiviti aset digital di Amerika Syarikat.
Kerangka kerja yang sekian lama dinantikan ini akan menetapkan garis panduan rasmi bagi tawaran dan jualan aset kripto, termasuk pengecualian sementara daripada pendaftaran lesen buat pembangun kontrak pelaburan kripto dan platform kewangan terpencar (DeFi).
Apa Itu ‘Safe Harbor’ dan Kelebihannya Pada Startup?
Pengecualian di bawah Regulation Crypto ini bakal memberikan jaminan undang-undang kepada syarikat kripto terutamanya syarikat permulaan (startup) agar aktiviti dorang tidak dicabar oleh tindakan penguatkuasaan SEC.
Pengerusi SEC, Paul Atkins, sebelum ini menjelaskan pelan pasaran safe harbor ini bakal memberi kelebihan kepada:
- Syarikat Startup Kecil: Membantu syarikat baharu bernilai sehingga $5 juta untuk bereksperimen dengan aset kripto dalam tempoh empat tahun pertama mereka.
- Dana Pengumpulan Modal: Membenarkan usahawan mengumpul dana sehingga $75 juta melalui kontrak pelaburan tanpa perlu melalui proses pendaftaran SEC yang rumit.
- Tokenisasi Aset: Menyediakan kejelasan undang-undang tentang bagaimana peserta pasaran boleh memegang (custody) dan memudahkan dagangan sekuriti bertoken (tokenized securities) secara on-chain.
“Bagi memenuhi matlamat Presiden Trump untuk memastikan Amerika Syarikat menjadi ibu kota kripto dunia, kami menyokong inovasi untuk membawa lebih banyak produk ke pasaran domestik,” kata kenyataan rasmi SEC.
Langkah pantas SEC memperkenalkan Regulation Crypto bulan ini merupakan pelan penyelamat terbaik buat pasaran digital asset ketika proses perundangan di Kongres sedang perlahan. Bagi para pelabur, tumpuan pasaran kini beralih kepada draf akhir SEC bagi melihat sejauh mana “zon selamat” ini mampu merancakkan semula volum pasaran kripto global!





















































