Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Indeks S&P 500 ditutup lebih rendah pada sesi dagangan Khamis susulan penurunan saham JPMorgan, Blackstone dan firma kewangan lain.
Dari segi prestasi pasaran, indeks Dow Jones merosot 0.94% kepada 48,996.08 mata, S&P 500 menyusut 0.34% kepada 6,920.93 mata, manakala Nasdaq Composite meningkat 0.16% kepada 23,584.28 mata.
Saham syarikat pemerolehan perumahan merosot selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dilaporkan sedang mengambil tindakan untuk mengenakan sekatan pembelian rumah keluarga tunggal dalam usaha mengurangkan harga hartanah.
Saham Blackstone dan Global Apollo Management menjunam lebih 5%, sekali gus menyumbang kepada penurunan 1.4% dalam indeks kewangan S&P 500. American Homes 4 Rent turut jatuh 4.3%.
Saham JPMorgan Chase pula menyusut 2.3% selepas Wolfe Research menurunkan taraf bank tersebut kepada ‘perform’ daripada ‘outperform.’
Sebaliknya, platform hartanah Zillow merekodkan kenaikan sebanyak 2%.
Pada masa sama, Nvidia dan Alphabet memacu kenaikan Nasdaq apabila pelabur beralih semula kepada saham kecerdasan buatan (AI).
Saham Nvidia dan Microsoft meningkat sekitar 1%, manakala Alphabet melonjak lebih 2% apabila pelabur kembali meminati saham AI, meskipun terdapat kebimbangan terhadap penilaian yang tinggi.
Jumlah dagangan di bursa AS didagangkan lebih tinggi kepada $17.4 bilion, berbanding purata $16.2 bilion bagi tempoh 20 sesi sebelumnya.


























































