Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Industri minyak sawit Malaysia berdepan cabaran getir apabila paras stok minyak sawit mentah (MSM) mencecah tahap tertinggi sejak Februari 2019, manakala eksport terus menunjukkan kelemahan.
Menurut MBSB Research, stok MSM pada Disember 2025 meningkat kepada 3.05 juta tan, didorong oleh penurunan eksport sebanyak 9.7 peratus kepada 15.3 juta tan.
Keadaan ini berpunca daripada permintaan yang lembap daripada pasaran utama seperti India, China dan Kesatuan Eropah (EU).
Namun, ketika eksport menyusut, pengeluaran sawit pula mencatat prestasi memberangsangkan.
Pada 2025, keluasan tanaman meningkat kepada 5.70 juta hektar, manakala pengeluaran MSM mencapai rekod 20.28 juta tan.
Produktiviti turut bertambah baik dengan kadar perahan minyak (OER) meningkat kepada 19.74 peratus.
Bagi mengekalkan daya saing, syarikat perladangan kini memberi tumpuan kepada mekanisasi, penanaman semula dan peningkatan kecekapan operasi.
Pada masa sama, MPOB akan memperkenalkan sistem baharu pada 2026 yang mengintegrasikan GeoSAWIT dan e-MSPO bagi meningkatkan ketelusan rantaian bekalan serta memastikan pematuhan kepada peraturan global seperti EUDR.
Melihat ke hadapan, MBSB menjangkakan pengeluaran MSM akan meningkat sedikit kepada 20.48 juta tan pada 2026, namun eksport diramal menyusut kepada 15.1 juta tan dan menandakan cabaran masih belum reda buat industri sawit negara.



























































