Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Strategy, Syarikat yang terkenal dengan strategi pelaburan agresif dalam Bitcoin, sekali lagi mencuri perhatian pasaran apabila membeli 592 Bitcoin bernilai $39.8 juta.
Pembelian ini menandakan transaksi ke-100 syarikat itu sejak mula menjadikan Bitcoin sebagai aset simpanan utama pada Ogos 2020.
Dengan pembelian terbaru ini, jumlah pegangan Strategy kini meningkat kepada 717,722 BTC, yang diperoleh pada kos keseluruhan sekitar $54.56 bilion.
Bitcoin tersebut dibeli pada harga purata $67,286 seunit bagi transaksi terkini, dibiayai melalui penjualan hampir 298,000 saham biasa Class A syarikat itu.
Sejak enam tahun lalu, Strategy konsisten menambah pegangan Bitcoin tanpa mengira keadaan pasaran.
Walaupun harga semasa didagangkan di bawah purata kos keseluruhan pembelian mereka, syarikat tetap meneruskan strategi pengumpulan jangka panjang.
Pengerusi Eksekutifnya, Michael Saylor, sebelum ini menyatakan keyakinan tinggi terhadap masa depan Bitcoin dengan kenyataan berani bahawa jika Bitcoin tidak menjadi sifar, nilainya berpotensi mencecah satu juta dolar pada masa hadapan.
Langkah terbaharu ini mengukuhkan lagi kedudukan Strategy sebagai syarikat awam paling besar di dunia yang memegang Bitcoin, sekali gus menegaskan bahawa aset digital tersebut kekal sebagai teras utama strategi kewangan mereka.


























































