Eco World Development Group Berhad mengumumkan perubahan dalam struktur pemegang saham utamanya selepas Datuk Leong Kok Wah memindahkan keseluruhan pegangan sahamnya dalam Syabas Tropikal Sdn Bhd kepada Syed Mokhtar Al-Bukhary.
Susulan transaksi tersebut, Kok Wah tidak lagi menjadi pemegang saham utama EcoWorld, manakala Syed Mokhtar muncul sebagai pemegang saham utama baharu menerusi kepentingan tidak langsung dalam syarikat itu.
Penstrukturan semula tersebut melibatkan pemindahan penuh pegangan Kok Wah dalam Syabas Tropikal, yang memiliki sepenuhnya Sinarmas Harta Sdn Bhd. Syarikat itu memegang kira-kira 969.9 juta saham EcoWorld, bersamaan sekitar 30.1% daripada jumlah modal saham terbitan syarikat.
Pengerusi Eksekutif EcoWorld, Liew Kee Sin merakamkan penghargaan kepada Kok Wah atas sokongan yang diberikan sepanjang 13 tahun lalu, selain mengalu-alukan Syed Mokhtar sebagai pemegang saham utama baharu kumpulan tersebut.
Syed Mokhtar merupakan antara tokoh korporat paling berpengaruh di Malaysia dengan empayar perniagaan yang merangkumi sektor pelabuhan, logistik, infrastruktur, automotif dan pembuatan.
Beliau turut mempunyai pegangan strategik dalam syarikat utama seperti DRB-HICOM Berhad dan MMC Corporation Berhad.
EcoWorld ketika ini memiliki kira-kira 4,770 hektar simpanan tanah di Lembah Klang, Iskandar Malaysia, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah RM100 bilion.
Syarikat itu turut disokong oleh lima teras pembangunan utama iaitu Eco Townships, Eco Rise, Eco Hubs, Eco Business Parks dan QUANTUM, sekali gus membolehkannya menembusi pelbagai segmen pasaran hartanah tempatan dan antarabangsa termasuk di United Kingdom serta Australia menerusi EWI Capital.





















































