Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Grok AI milik Elon Musk, kini dilarang daripada menyunting gambar individu menjadi imej yang memalukan atau tidak sopan, selepas menerima tekanan kuat daripada beberapa negara termasuk United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Perubahan ini diumumkan sejurus selepas pihak berkuasa California mendedahkan siasatan terhadap penyebaran deepfake berunsur seksual termasuk yang melibatkan kanak-kanak.
Menurut kenyataan rasmi di platform X, Grok telah diprogram semula untuk menghalang sebarang cubaan mengubah imej orang sebenar kepada pakaian yang mendedahkan secara seksual.
Sekatan ini terpakai kepada semua pengguna, termasuk pelanggan berbayar.
X turut menjelaskan bahawa hanya pengguna berbayar dibenarkan menggunakan ciri penyuntingan imej Grok, sebagai langkah tambahan untuk meningkatkan akauntabiliti dan mengelakkan penyalahgunaan.
Mana-mana percubaan untuk menjana imej individu dalam keadaan mengaibkan akan disekat mengikut undang-undang tempatan pengguna tersebut.
Sebelum ini, Malaysia dan Indonesia telah menyekat akses kepada Grok susulan isu berkaitan imej AI tersebut.
Sementara itu, Perdana Menteri UK, Sir Keir Starmer, memberi amaran bahawa X berisiko kehilangan hak kawal selia kendiri jika gagal menangani masalah ini.
Pengawal selia media UK, Ofcom, turut mengesahkan mereka sedang menyiasat sama ada X melanggar undang-undang berkaitan kandungan seksual di negara itu.


























































