Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Menurut laporan semalam, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dilaporkan sedang mempertimbangkan keputusan untuk mengambil tindakan terhadap Iran.
Trump kini dilaporkan sedang menilai pelbagai tindakan, termasuk serangan ketenteraan dan tindakan lain yang tidak melibatkan pasukan bersenjata.
Pembantu Trump dijadual memberikan taklimat kepada beliau pada Selasa mengenai langkah-langkah yang merangkumi aspek ketenteraan, siber dan ekonomi bagi menangani ancaman tersebut.
Sejak kebelakangan ini, Trump mengancam untuk campur tangan di Iran selepas memberikan amaran kepada para pepimpinnya supaya tidak menggunakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan.
Dalam pada itu, Trump turut menegaskan bahawa AS kini bersiap sedia untuk membantu penunjuk perasaan di Iran.
Perbincangan mengenai kemungkinan campur tangan itu dilaksanakan ketika kepimpinan ulama Iran menghadapi protes anti-kerajaan terbesar sejak tahun 2022.
Menurut agensi hak asasi manusia, lebih 500 penunjuk perasaan dilaporkan terkorban selepas minggu protes itu memasuki minggu ketiga susulan isu krisis ekonomi dan bantahan secara berterusan.
Kerajaan Iran telah mengambil tindakan keras terhadap penunjuk perasaan dengan menyekat akses internet di seluruh negara.
Pada masa yang sama, Trump pada awal minggu ini mengancam akan melakukan campur tangan ketenteraan sekiranya Iran bertindak keras untuk menghancurkan protes berkenaan.
Bagaimanapun, Tehran memberi amaran semalam bahawa mereka akan membalas dendam terhadap pangkalan tentera Israel dan AS sekiranya Washington menyerang Iran.

























































