Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sekali lagi mencetuskan perbincangan global apabila lembaga tajaan beliau, Board of Peace, dilaporkan sedang mempertimbangkan pelancaran sebuah stablecoin khas untuk Gaza.
Menurut laporan Financial Times, cadangan itu masih di peringkat awal dan bertujuan membolehkan rakyat Gaza menjalankan transaksi digital dengan lebih mudah selepas dua tahun konflik yang memusnahkan sebahagian besar infrastruktur ekonomi wilayah tersebut.
Stablecoin berkenaan bukanlah meme coin atau pengganti mata wang rasmi, sebaliknya dirancang sebagai medium pembayaran digital bagi mempercepatkan pemulihan ekonomi.
Board of Peace yang diumumkan pada Januari mewajibkan sumbangan $1 bilion bagi setiap negara yang ingin menjadi ahli tetap, manakala AS sendiri berjanji menyumbang $10 bilion.
Beberapa negara Eropah Barat menolak penyertaan, namun 26 negara termasuk Israel dan Arab Saudi menjadi ahli pengasas.
Bagaimanapun, pakar memberi amaran bahawa tanpa rangka kerja kawal selia yang jelas, stablecoin ini berisiko menghadapi masalah yang sama seperti transaksi kripto sebelum ini di Gaza, yang dilaporkan mencecah lebih $100 juta melalui saluran tidak rasmi.
Selain stablecoin, Trump juga sebelum ini mencadangkan idea lebih kontroversi termasuk ‘menokenkan’ tanah Gaza sebagai sebahagian pelan pembangunan pascaperang.
Kenyataan beliau untuk menjadikan Gaza sebagai ‘Riviera Timur Tengah’ turut mengundang pelbagai reaksi antarabangsa.



























































