Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Harga minyak global naik mendadak mendadak semalam susulan ketegangan geopolitik yang semakin memuncak antara Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran.
Presiden Donald Trump sekali lagi mendesak Pengerusi Federal Reserve (Fed), Jerome Powell supaya menurunkan kadar faedah dengan segera.
Dalam satu hantaran di platform Truth Social, Trump menyatakan bahawa Fed sepatutnya menurunkan kadar faedah dengan segera.
Walau bagaimanapun, para pelabur bimbang harga minyak yang tinggi akan menambah tekanan inflasi, sekali gus menghalang Fed daripada mengurangkan kadar faedah, sekurang-kurangnya sehingga akhir tahun ini.
Kontrak niaga hadapan kadar faedah kini hanya menjangkakan satu pengurangan kadar faedah suku mata menjelang akhir tahun, berbanding dua pengurangan sebelum ini.
Situasi ini berlaku meskipun bekas Gabenor Fed, Kevin Warsh yang bakal memegang jawatan pada Mei depan dilihat lebih cenderung kepada pengurangan kadar faedah.
Sementara itu, Pemimpin Tertinggi Iran yang baharu, Mojtaba Khamenei menegaskan mahu menutup Selat Hormuz, laluan penting yang mengangkut hampir 20% bekalan minyak dunia.
Langkah ini sudah tentu bakal menggugat pasaran minyak global. Akibatnya, harga minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) melonjak pada $95.70 setong.
Kenaikan minyak kebiasaanya akan meningkatkan harga petrol, sekali gus memberi tekanan kepada kos makanan dan barangan lain kerana kos pengangkutan akan meningkat.
Penganalisis juga meramalkan harga makanan bakal naik kerana Selat Hormuz adalah laluan utama penghantaran baja ke seluruh dunia.
Goldman Sachs mengubah jangkaan Indeks Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) daripada sasaran Fed 2% kepada 2.9% menjelang bulan Disember.
Akibatnya, jangkaan masa pengurangan kadar faedah Fed turut diundur ke September, berbanding Jun sebelum ini.
Konflik geopolitik dan tekanan inflasi kini menekan Fed, walaupun tekanan politik daripada Trump mahu kadar faedah diturunkan segera.

























































