Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Jerman meremehkan kemungkinan Amerika Syarikat bertindak secara ketenteraan untuk merampas Greenland, walaupun Presiden Donald Trump berulang kali melontarkan ancaman tersebut terhadap wilayah milik Denmark itu.
Menteri Luar Jerman, Johann Wadephul, menyifatkan idea tindakan unilateral AS sebagai tidak serius selepas pertemuannya dengan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, kelmarin.
Menurut Wadephul, beliau tidak melihat sebarang petunjuk bahawa langkah ketenteraan benar-benar sedang dipertimbangkan. Sebaliknya, katanya, negara-negara terlibat berkongsi kepentingan bersama dalam memastikan keselamatan di rantau Artik.
“Isu keselamatan di Artik perlu ditangani secara kolektif. NATO kini sedang merangka pelan yang lebih terperinci dan perkara ini akan dibincangkan bersama rakan-rakan dari AS,” jelasnya.
Lawatan Wadephul ke Washington berlaku ketika AS dijadual mengadakan rundingan minggu ini dengan diplomat kanan Denmark dan Greenland, yang turut diketuai oleh Rubio.
Dalam kenyataan terbaharu, Trump sekali lagi menegaskan hasratnya untuk AS mengambil alih Greenland, sama ada melalui pendekatan diplomatik atau kaedah yang lebih keras.
Namun, kerajaan Greenland pada Isnin menegaskan pendirian tegas bahawa mereka tidak akan menerima sebarang bentuk pengambilalihan oleh AS, dalam apa jua keadaan sekalipun.
Greenland dan NATO turut memaklumkan bahawa usaha sedang giat dijalankan bagi memperkukuh pertahanan di wilayah Artik, yang kini menjadi fokus kebimbangan global.
Trump sebelum ini mendakwa peningkatan aktiviti Russia dan China di Artik sebagai justifikasi keperluan AS menguasai Greenland.
Pada masa sama, beliau juga secara terbuka menyuarakan keinginan untuk memperluas pengaruh dan wilayahyang dikawal oleh Amerika Syarikat.


























































