Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Jumlah permohonan baru untuk faedah pengangguran di Amerika Syarikat jatuh sebanyak 9,000 kepada 202,000 bagi minggu berakhir 28 Mac. Angka ini lebih rendah daripada ramalan penganalisis, mencerminkan keadaan pasaran buruh yang kekal tenang dengan kadar pemberhentian kerja yang minimum pada bulan Mac.
Walau bagaimanapun, ahli ekonomi menyifatkan keadaan semasa sebagai pasaran buruh ” kadar pengambilan rendah, kadar pemecatan rendah” . Faktor ini sebahagian besarnya berpunca daripada ketidaktentuan akibat dasar tarif import agresif dan dasar imigresen garis keras pentadbiran Presiden Donald Trump yang menjejaskan bekalan buruh.
Ketegangan geopolitik akibat perang AS-Israel dengan Iran turut menambah beban kepada sektor perniagaan. Walaupun pertumbuhan pekerjaan dijangka melantun sebanyak 60,000 pada Mac, pakar memberi amaran bahawa lonjakan harga minyak global melebihi 50% boleh menjadikan pemulihan tersebut hanya bersifat sementara.
Kesan inflasi tenaga mula dirasai apabila harga petrol AS mencecah paras melebihi $4 segelen buat kali pertama dalam tempoh tiga tahun. Peningkatan kos operasi dan kelembapan perbelanjaan pengguna menyebabkan banyak syarikat mengambil pendekatan “tunggu dan lihat” serta menangguhkan pengambilan pekerja baru.
Laporan penggajian rasmi akan dikeluarkan pada hari Jumaat ini. Walaupun tuntutan pengangguran awal rendah, peningkatan dalam tuntutan berterusan kepada 1.841 juta menunjukkan bahawa penganggur sedia ada mengambil masa lebih lama untuk mendapatkan pekerjaan baru di tengah-tengah pembukaan jawatan yang berada pada tahap terendah dalam tempoh enam tahun.





















































