Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Presiden Donald Trump dilaporkan sedang mempertimbangkan kemungkinan menarik diri daripada Perjanjian Amerika Syarikat-Mexico-Kanada (USMCA), menurut laporan yang beredar yang berdasarkan sumber dalaman.
Trump dikatakan telah bertanya kepada pembantunya mengenai implikasi sekiranya Amerika Syarikat keluar daripada perjanjian perdagangan yang ditandatanganinya semasa penggal pertama pentadbirannya. Waima begitu beliau belum membuat apa-apa keputusan yang muktamad.
Seorang pegawai Rumah Putih berkata Trump sentiasa berusaha mendapatkan perjanjian yang lebih baik untuk rakyat Amerika dan menyifatkan spekulasi sebelum pengumuman rasmi sebagai tidak berasas. Sementara itu, pejabat Wakil Perdagangan AS menyatakan bahawa pembaharuan terma 2019 tanpa perubahan bukanlah demi kepentingan nasional.
Pentadbiran itu dilaporkan mahu mengekalkan semua pilihan terbuka sambil menangani isu yang dikenal pasti melalui rundingan. Kedua-dua pegawai enggan mengesahkan secara langsung sama ada penarikan diri sedang dipertimbangkan.
USMCA berdepan semakan mandatori menjelang 1 Julai, yang sepatutnya menjadi proses rutin tetapi kini bertukar menjadi rundingan tegang, dengan Trump menuntut konsesi tambahan dan mengaitkan isu perdagangan dengan isu migrasi, penyeludupan dadah dan pertahanan.

























































