Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam memaklumkan bahawa Venezuela akan membeli produk keluaran AS menggunakan hasil keuntungan daripada jualan minyaknya.
Menerusi satu hantaran di media sosial, Trump melaporkan bahawa beliau telah menerima maklum balas daripada Venezuela yang menyatakan kesediaan untuk membeli produk AS menerusi dana daripada perjanjian minyak baharu.
Beliau turut menjelaskan bahawa pembelian tersebut merangkumi produk pertanian, ubat-ubatan, peralatan perubatan dan peralatan untuk menambah baik kemudahan grid elektrik dan kemudahan tenaga Venezuela.
Sebelum ini, Trump mengesahkan bahawa Venezuela akan menyerahkan antara 30 juta hingga 50 juta tong minyak kepada AS selepas Presiden Nicolas Maduro ditahan.
Minyak tersebut akan dijual mengikut harga pasaran semasa dengan nilai jualan dijangka mencecah lebih $2 bilion berdasarkan harga penutupan minyak sekiranya urus niaga itu berjaya dilaksanakan.
Dalam pada itu, Setiausaha Tenaga AS, Chris Wright semalam menyatakan bahawa AS akan memantau penjualan minyak Venezuela dalam tempoh masa yang panjang.
Beliau juga menambah pihak AS akan mula menjual simpanan minyak mentah dari Venezuela dan terus memasarkan pengeluaran masa hadapan negara itu secara berterusan.



























































