Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Vitalik Buterin sekali lagi mencuri perhatian pasaran kripto apabila beliau menjual kira-kira 17,000 ETH dalam tempoh sebulan, selepas memperuntukkan dana bernilai $45 juta untuk pembangunan teknologi privasi.
Ketika artikel ini ditulis, harga Ethereum kini berada di paras $1,853.31 iaitu positif 0.06% sejak ia dibuka pada awal dagangan Rabu di sesi Asia.
Menurut data daripada Arkham Intelligence, pegangan Ether milik pengasas bersama Ethereum itu susut daripada sekitar 241,000 ETH kepada 224,000 ETH bulan ini.
Jualan tersebut dilakukan secara berperingkat dan disalurkan melalui CoW Protocol menggunakan transaksi kecil bagi mengurangkan impak terhadap pasaran.
Langkah ini berlaku selepas beliau mengumumkan bahawa 16,384 ETH daripada pegangan peribadinya diketepikan untuk membiayai projek berkaitan privasi, perisian sumber terbuka dan sistem perkakasan yang selamat serta boleh diaudit.
Inisiatif itu juga selari dengan pendekatan ‘austerity ringan’ oleh Ethereum Foundation, sambil mengekalkan hala tuju teknikal rangkaian.
Namun, penjualan ini berlaku ketika harga ETH sedang lemah.
Ether dilaporkan jatuh lebih 37% dalam tempoh sebulan dan kini didagangkan sekitar $1,825.
Walaupun lebih 30% bekalan ETH masih terkunci dalam staking, sentimen pasaran kekal berhati-hati, terutamanya apabila figura penting seperti Vitalik sendiri mengurangkan pegangan.


























































