Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Pasaran Wall Street ditutup bercampur-campur hari ini ketika tumpuan pelabur terarah kepada laporan inflasi utama yang bakal diterbitkan minggu ini.
Penerbitan data tersebut merangkumi laporan Indeks Harga Pengguna (CPI) bagi bulan Februari pada Rabu dan Indeks Harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) bagi Januari pada Khamis.
Data ini disifatkan amat penting bagi memberi petunjuk lebih jelas kepada pelabur mengenai trend inflasi semasa.
Dari segi prestasi indeks utama, Dow Jones merosot 0.07%, S&P 500 menyusut 0.21%, manakala Nasdaq Composite pula mengukuh 0.01%.
Sembilan daripada 11 sektor dalam S&P merekodkan penurunan selepas saham tenaga jatuh susulan kemerosotan harga minyak secara mendadak.
Pada masa yang sama, saham cip berwajaran tinggi mencatatkan peningkatan, didorong oleh data jualan kukuh daripada TSMC, termasuk Nvidia (1.2%), Micron Technology (3.5%) dan Intel (2.6%).
Sebelum ini, indeks utama mencatatkan kenaikan positif selepas konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran dilaporkan bakal berakhir tidak lama lagi.
Bagaimanapun, pegawai AS memberi isyarat bahawa operasi ketenteraan semakin meningkat dan prospek rundingan diplomatik kekal terhad.






















































