Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Pasaran saham Amerika Syarikat (AS) mencatatkan penurunan mendadak pada sesi dagangan Rabu, menyaksikan indeks-indeks utama Wall Street menyusut akibat tekanan dalam sektor teknologi.
Situasi ini berlaku ketika para pelabur sedang meneliti laporan pendapatan terkini syarikat-syarikat utama.
Dalam pada itu, saham Advanced Micro Devices (AMD) merosot lebih 8% selepas syarikat itu mengeluarkan ramalan suku pertama yang lebih lemah daripada jangkaan.
Saham Chipotle jatuh kira-kira 6% susulan prestasi hambar bagi suku keempat berturut-turut.
Sebaliknya, saham Match Group melonjak 7% berikutan pendapatan dan hasil yang lebih kukuh, sekali gus mengatasi jangkaan pasaran.
Dari segi prestasi indeks utama, Dow Jones melemah 0.34% kepada 49,240.99 mata, S&P 500 merudum 0.84% kepada 6,917.81 mata, manakala Nasdaq Composite pula menjunam 1.43% kepada 336.92 mata.
Pada masa yang sama, sektor teknologi mengalami tekanan jualan besar-besaran, terutamanya melibatkan saham kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor.
Antara saham yang terjejas termasuklah peneraju cip AI, Nvidia yang menyusut 2.8%, Microsoft (2.9%), Micron (4.2%), Broadcom (3.3%) dan Oracle (3.4%).
Tumpuan pasaran kini beralih kepada laporan pendapatan syarikat induk Google, Alphabet pada Rabu, diikuti oleh Amazon pada Khamis.
























































