Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Kerajaan Arab Saudi secara rasmi akan menguatkuasakan peraturan baharu yang membenarkan warga asing mampu memiliki hartanah sendiri bermula 22 Januari lepas.
Sistem kawal selia ini kini menjadi sebahagian daripada rangka kerja hartanah negara dan semua peruntukan berkaitan boleh dilaksanakan sepenuhnya.
Permohonan pemilikan hartanah bagi bukan warga Arab Saudi boleh dibuat melalui platform digital rasmi, Saudi Arabia Real Estate.
Kemudahan ini terbuka kepada penduduk pemastautin dan bukan warganegara, termasuk syarikat serta entiti asing dengan syarat mematuhi prosedur undang-undang yang ketat.
Warga asing yang menetap di Arab Saudi boleh memohon secara terus menggunakan permit kediaman mereka. Sistem tersebut akan mengesahkan keperluan undang-undang secara automatik dan melengkapkan proses secara elektronik.
Sementara itu, rakyat bukan pemastautin perlu membuat permohonan di kedutaan atau konsulat Arab Saudi di luar negara untuk mendapatkan nombor pengenalan digital sebelum menamatkan proses dalam talian.
Syarikat asing tanpa kehadiran rasmi di Arab Saudi pula perlu mendaftar dengan Kementerian Pelaburan melalui platform ‘Invest Saudi’ untuk mendapatkan nombor pendaftaran terpadu ‘700’ terlebih dahulu sebelum meneruskan urusan pemilikan hartanah secara digital.
Pemilikan hartanah kini dibenarkan di bandar-bandar utama seperti Riyadh dan Jeddah, namun masih terhad di Makkah dan Madinah.
Hanya syarikat Arab Saudi dan individu Muslim yang dibenarkan memiliki hartanah di dua kawasan suci tersebut, tertakluk kepada peraturan Zon Geografi yang akan diumumkan sepenuhnya menjelang suku pertama 2026.
Portal hartanah ini berperanan sebagai pintu masuk tunggal bagi semua prosedur, sekali gus memastikan kepatuhan dan penyepaduan dengan pendaftaran hartanah nasional. Langkah ni dijangka meningkatkan ketelusan serta melindungi hak pemilik.
Kerajaan Arab Saudi berharap inisiatif ini dapat menarik pemaju antarabangsa dan syarikat khusus, merangsang pertumbuhan sektor kediaman, komersial, perindustrian dan pelancongan, selain meningkatkan peluang pekerjaan bagi rakyat tempatan.
Walau bagaimanapun, timbul persoalan, sejauh mana langkah ini benar-benar membuka pasaran hartanah Arab Saudi kepada pelabur asing atau hanya sekadar strategi untuk menarik modal sambil mengekalkan kawalan ketat di kawasan strategik?
Sekatan yang masih wujud di Makkah dan Madinah jelas menunjukkan kerajaan masih berhati-hati dalam membuka pintu penuh kepada warga asing dengan mengekalkan faktor geopolitik dan agama sebagai benteng utama.























































