“Ke sana ke sini harapnya BTC jumpa jalan balik la.”
Sepanjang minggu lepas, harga ibu segala mata wang kripto Bitcoin (BTC) menyaksikan tekanan jualan apabila terjun sebanyak 7.18%, di mana kini berlegar pada paras $22,000 dalam tempoh 24 jam lalu dengan modal pasaran $425 bilion.
Baru-baru ini dilaporkan bahawa hampir 40,000 BTC daripada wallet dikaitkan dengan rampasan penguatkuasaan undang-undang Kerajaan Amerika Syarikat (AS) sedang bergerak.
Walaupun sebahagian besarnya dilihat sebagai pemindahan dalaman, sebanyak 9,681 BTC yang dirampas daripada penggodam Silk Road telah dihantar ke syarikat exchanger kripto Coinbase.
Menurut Ali Martinez, penganalisis kripto popular berkata BTC terus menghadapi tekanan jualan susulan masih tidak menembusi paras $23,050 hingga $23,730 dan aset digital tersebut mampu tergelincir hingga $20,700 atau $19,300.
Tambahnya lagi, jumlah wallet BTC yang memegang lebih 1,000 BTC juga menurun sejak minggu lalu apabila hampir 24 address aset digital itu telah menjual pegangan mereka.
Dalam pada itu, Pengerusi Federal Reserve (Fed) Jerome Powell yang berhasrat menaikkan kadar faedah secara agresif untuk turunkan inflasi ke sasaran 2% turut menjadi punca seluruh pasaran kripto sukar dipulihkan.
Pada Selasa, saham GBTC terus meningkat sejurus selepas seorang hakim di mahkamah AS membidas Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) atas penafiannya terhadap spot BTC ETF.