Berikut merupakan sebahagian daripada data-data ekonomi penting yang akan menjadi tumpuan pasaran sepanjang minggu ini.
SELASA (5 November 2024)
Mesyuarat Polisi RBA (11.30 Pagi) – Pasaran meletakkan jangkaan untuk bank pusat Australia mengekalkan kadar faedah di paras 4.35%. Namun, kenyataan susulan selepas kadar diumumkan akan diperhatikan berikutan data inflasi Australia yang diterbitkan minggu lalu catat penurunan agak ketara.
PMI Perkhidmatan AS Tinjauan ISM (11.00 Malam) – Data tinjauan untuk sektor perkhidmatan di Amerika ini boleh memberi kesan terhadap pergerakan US dolar. Angka untuk Oktober diramal sedikit menurun, namun masih kekal di atas paras 50 mata.
Pilihan Raya Presiden AS – Menjadi acara yang ditunggu-tunggu di seluruh dunia, pilihan raya terbaru di Amerika akan menentukan calon Presiden untuk memimpin bagi penggal seterusnya. Undian akan turut dijalankan untuk pemilihan barisan Kongres yang baru.
KHAMIS (7 November 2024)
Mesyuarat Polisi BOE (8.00 Malam) – Selepas mengekalkan kadar faedah di paras 5.00% pada mesyuarat September lalu, bank pusat England dijangka akan meneruskan langkah pelonggaran dasarnya dengan jangkaan pemotongan 25 mata asas lagi pada mesyuarat November ini. Pound bakal berdepan risiko penyusutan nilai pada minggu ini.
JUMAAT (8 November 2024)
Mesyuarat FOMC (3.00 Pagi) – Setelah memulakan kempen pelonggaran dasar pada September lalu, Federal Reserve yang telah memotong 50 mata asas kadar faedah dijangka akan meneruskan lagi pemotongan lanjut. Namun, pasaran menjangkakan pemotongan kadar faedah lebih kecil sebanyak 25 mata untuk mesyuarat November kepada 4.75%.
Data Pekerjaan Kanada (9.30 Malam) – Ekonomi Kanada dilihat berisiko dengan ramalan angka pekerjaan terbaru, dengan pertambahan pekerjaan pada Oktober dijangka rendah berbanding bulan sebelumnya, sementara kadar pengangguran diunjur meningkat naik dari 6.5% kepada 6.6%.