6 Berita Data Ekonomi Penting Tumpuan Pasaran Minggu Ini (7-11 Mac 2022)

741

Berikut merupakan antara data-data penting yang bakal menjadi tumpuan pasaran sepanjang minggu ini.

Data Pengeluaran Perindustrian Jerman (Selasa 3.00 Petang): Pengeluaran industri di Jerman sebagai ekonomi terbesar di Eropah akan diberi tumpuan dengan jangkaan angka bacaan data untuk Januari kembali meningkat semula. Bacaan positif diharapkan untuk menyokong dagangan mata wang Euro yang semakin susut pada minggu lalu.

Mesyuarat Polisi Bank Pusat Eropah (Khamis 8.45 Malam): Adakah European Central Bank (ECB) akan mengekalkan kadar faedah tidak berubah pada mesyuarat polisi edisi Mac? Pelabur akan memberi tumpuan terhadap petunjuk dasar monetari ECB yang akan menentukan pergerakan Euro minggu ini.

Data Inflasi AS (Khamis 9.30 Malam): Kadar inflasi di Amerika Syarikat (AS) dijangka akan mencatatkan bacaan yang meningkat. Ini akan terus menguatkan jangkaan untuk Federal Reserve (Fed) meningkatkan kadar faedah pada mesyuarat FOMC minggu hadapan selepas Pengerusi Jerome Powell juga telah memberikan isyarat tersebut pada minggu sebelum ini.

Data Keluaran Dalam Negara Kasar UK (Jumaat 3.00 Petang): Bacaan data bagi pertumbuhan ekonomi di UK untuk Januari diramalkan positif selepas penyusutan pada bacaan sebelumnya. Mata wang Pound berkemungkinan tidak akan memberi reaksi yang ketara susulan data diterbitkan, namun akan turut menjadi tumpuan bank pusat dalam penetapan dasar.

Laporan Data Pekerjaan Kanada (Jumaat 9.30 Malam): Selepas NFP pada minggu lalu, laporan data pekerjaan Kanada pula akan menghiasi kalendar pelabur pada penghujung minggu ini. Pertambahan pekerjaan untuk bulan Februari diramalkan lebih baik dan kadar pengangguran juga dijangka untuk menurun.

Data Sentimen Pengguna AS (Jumaat 11.00 Malam): Data tinjauan sentimen pengguna di Amerika Syarikat oleh Universiti Michigan akan memberi bayangan terhadap perbelanjaan pengguna serta aktiviti ekonomi semasa. Angka bacaan yang melonjak dijangka akan turut mempengaruhi peningkatan nilai US dolar pada penutup dagangan minggu ini.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat