Berikut merupakan sebahagian daripada data-data ekonomi penting yang akan menjadi tumpuan pasaran sepanjang minggu ini.
SELASA (12 November 2024)
Data Pekerjaan UK (3.00 Petang) – Menjadi petunjuk seterusnya kepada Bank of England yang baru sahaja menurunkan kadar faedah pada minggu lalu, laporan data pekerjaan terbaru di UK akan diperhatikan untuk menilai kesihatan sektor buruh.
RABU (13 November 2024)
Data Indeks Harga Pengguna AS (9.30 Malam) – Tumpuan utama pada minggu ini pastinya akan terarah kepada data inflasi Amerika yang kekal menjadi kompas hala tuju dasar monetari Federal Reserve. Kadar faedah telah diturunkan lagi sebanyak 25 mata asas pada minggu lalu, namun keputusan pada mesyuarat Disember belum diputuskan. Inflasi pengguna pada Oktober diramal kekal di paras 2.4%.
KHAMIS (14 November 2024)
Data Pekerjaan Australia (8.30 Pagi) – Mengamati ramalan bagi laporan pekerjaan di Australia, pertambahan pekerjaan pada Oktober dijangka lebih perlahan sekitar 25,200 berbanding 64,100 pada bulan sebelumnya. Sementara kadar pengangguran diunjurkan kekal pada 4.1%.
Data Indeks Harga Pengeluar AS (9.30 Malam) – Menyusuli inflasi pengguna, data inflasi pengeluar (PPI) AS akan turut diperhatikan untuk pelabur menilai perubahan harga barangan dan perkhidmatan di peringkat pengeluar.
JUMAAT (15 November 2024)
Data Pengeluaran Industri China (10.00 Pagi) – Pelabur akan turut meneliti perkembangan data-data di China sebagai ekonomi kedua terbesar di dunia. Laporan pengeluaran perindustrian akan diterbitkan bersama data jualan runcit serta beberapa data yang lain.
Data KDNK UK (3.00 Petang) – Pertumbuhan bulanan ekonomi UK pada September lalu dijangka tidak berubah pada 0.2%, seperti bacaan sebelumnya. Beberapa data lain akan diterbitkan bersama seperti imbangan dagangan barangan dan pengeluaran perindustrian.
Data Jualan Runcit AS (9.30 Malam) – Menutup dagangan pada minggu ini, data jualan runcit Amerika akan hadir pada sesi terakhir. Namun, ramalan tidak menunjukkan angka yang baik, sedikit lemah untuk bacaan bagi bulan Oktober berbanding bulan sebelumnya.