Dalam dunia kewangan, ada bermacam cara untuk menjana pendapatan dan keuntungan yang boleh diraih dari pelbagai bentuk. Berikut adalah antara perbezaan jenis-jenis pendapatan yang mampu dijana sama ada oleh individu, syarikat atau institusi.
- Gaji
Kebiasaannya, ramai individu yang memilih untuk bekerja dengan majikan. Ini kerana seseorang pekerja itu akan mendapat bayaran yang telah ditetapkan sama ada bulanan (gaji) atau kiraan hari/jam (upah).
- Komisen
Pendapatan tambahan yang diberikan apabila sesuatu tugasan berjaya disiapkan seperti program atau projek. Dalam perniagaan, komisen sering diberikan mengikut jumlah jualan produk yang terhasil.
- Kadar Faedah
Bentuk keuntungan yang diperoleh melalui khidmat pinjaman yang diberikan kepada pelanggan. Kaedah ini kebiasaannya akan digunakan oleh institusi bank dengan cara menyediakan pinjaman kepada pelanggan dan mengenakan kadar faedah untuk dibayar secara bulanan.
- Sewaan
Pendapatan melalui sewaan sering digunakan bagi mereka yang memiliki aset hartanah, bangunan atau premis untuk menjana keuntungan pasif yang berterusan. Pihak yang mencari premis untuk menjalankan perniagaan mereka akan menyewa daripada pemilik dan mematuhi perjanjian kontrak yang disediakan.
- Pulangan Kapital
Pulangan kapital merujuk kepada peningkatan nilai aset yang dimiliki. Apabila individu membuat keputusan untuk menjual aset miliknya sebagai contoh saham, pada nilai yang lebih tinggi daripada nilai beliannya, beliau akan mendapat pulangan modal yang berlipat kali ganda.
- Dividen
Dividen merupakan agihan bayaran sebahagian keuntungan yang disalurkan sebagai ganjaran kepada individu yang melabur contohnya pada syarikat atau kumpulan tertentu. Ia menjadi pilihan ramai individu kerana risiko yang rendah dengan jaminan keuntungan yang berterusan mengikut tempoh yang ditetapkan. Contohnya KWSP dan ASB.
- Royalti
Ini adalah bentuk bayaran kepada pemilikan atau perlesenan ke atas sesuatu harta seperti paten atau hakcipta yang digunakan oleh pihak lain. Contohnya seperti royalti muzik dan royalti minyak.