Adakah Laporan Pekerjaan NFP Akan Terus Mengukuhkan Dagangan USD?

809

Dagangan dolar Amerika terus mengukuh disokong oleh kebimbangan ketegangan di Timur Tengah semakin berkurang menyebabkan pelabur mengalihkan tumpuan kepada perjanjian fasa 1 A.S-China dan laporan pekerjaan NFP.

Amerika Syarikat dan China dijadual akan menandatangani perjanjian perdagangan pada minggu depan. Pelabur berpendapat perjanjian ini akan menghapuskan salah satu ketidakpastian ekonomi dunia yang paling besar dan membantu meningkatkan pertumbuhan global tahun ini.

Sementara itu, komen-komen positif daripada ahli-ahli Federal Reserve (Fed) A.S juga menyokong USD. Naib Presiden Fed, Richard Clarida berpandangan optimis terhadap ekonomi negara itu pada tahun 2020 dan tindakan pemotongan kadar faedah pada tahun lepas adalah bersesuaian dengan situasi semasa.

Terdapat laporan bahawa nahas pesawat milik Ukraine pada Rabu telah ditembak jatuh oleh peluru berpandu Iran. Bagaimanapun, pasaran tidak menunjukkan sebarang reaksi memandangkan ia sememangnya sudah dijangka sebelum ini.

Dolar Kanada melemah ke paras terendah dua minggu berbanding US dolar dengan harga minyak mentah terus merosot selepas Iran tidak menunjukkan tanda untuk meneruskan serangan ke atas A.S, sekali gus meredakan ketegangan.

Gabenor Bank Pusat Kanada (BOC) Stephen Poloz dalam ucapannya pada Khamis berkata kecenderungan penurunan risiko dari pertikaian perdagangan global dilihat semakin berkurangan meskipun beberapa ketidakpastian masih wujud yang menjejaskan indikator ekonomi Kanada.

Mengikuti perkembangan matawang Asia, dolar Aussie mula memperlihatkan peningkatan ekoran data jualan runcit Australia yang meningkat kepada 0.9% pada bulan November, jauh lebih tinggi daripada yang dicatatkan sebelum ini sebanyak 0.1%.

Antara yang turut menjadi tumpuan pasaran hari ini adalah penerbitan laporan pekerjaan NFP A.S yang diunjurkan penambahan sebanyak 164,000 pekerjaan baru pada bulan Disember daripada 266,000 yang dicatatkan sebelumnya, serta penerbitan data pekerjaan Kanada.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat