Adakah Risiko Pasaran Semakin Reda? Apa Pula Tumpuan Pasaran Ketika Ini?

81

US dolar pulih sedikit daripada kejatuhan minggu lalu selepas risiko geopolitik Korea Utara dan Amerika Syarikat sedikit reda. Aset safe-haven  Emas, Yen dan Swiss Franc melemah dalam sesi dagangan Isnin selepas laporan dua pegawai Amerika Syarikat menunjukkan perkembangan positif dalam krisis ini.

Apa yang menjadi persoalan ketika ini, adakah US dolar akan terus memulih dalam jangka masa lebih lama?

Secara keseluruhan belum ada perkara yang jelas tentang risiko geopolitik ini dengan tindakan oleh kedua-dua negara sukar dijangka.

Walaupun dengan krisis yang semakin pulih, namun harus diingat US dolar masih diselubungi oleh data-data inflasi yang meleset daripada jangkaan pada Khamis (data PPI) dan Jumaat (data CPI) minggu lalu.

Oleh sebab data yang negatif, potensi kenaikan kadar pada Disember semakin diragui, kecuali terdapat perkara positif dalam laporan data ekonomi minggu ini.

Minit mesyuarat FOMC akan dikeluarkan pada lewat dagangan Rabu iaitu pada pukul 2 pagi Khamis waktu Malaysia. Jika terdapat perkara positif khususnya tentang inflasi dalam minit tersebut, kita bakal melihat pengukuhan US dolar. Namun dengan komen-komen ahli FOMC yang kurang meyakinkan minggu lalu di mana majoriti dari mereka melihat inflasi terus bergerak di bawah sasaran, tidak banyak perkara positif dijangka dalam minit mesyuarat kali ini.

Selain itu, data jualan runcit US juga akan dikeluarkan minggu ini. Data ini seringkali dijadikan sebagai proksi kepada perbelanjaan pengguna di US di mana jika terdapat peningkatan signifikan tentunya dilihat sebagai pengukuhan dari segi perbelanjaan yang seterusnya mampu menolak inflasi lebih tinggi.

Namun, data-data ekonomi yang positif akan terus dibayangi oleh ketidaktentuan risiko geopolitik yang sukar dijangka setakat ini.

Pasaran akan mengambil kira sentimen semasa geopolitik di samping laporan data ekonomi sepanjang minggu ini.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat