Adakah Satoshi Nakamoto Mula ‘Menjual’ Bitcoin Yang Dimilikinya Sejak 2010?

2,312

Industri kripto digemparkan dengan pemindahan Bitcoin (BTC) yang bernilai lebih dari $11 juta, tidak disentuh di dalam wallets sejak dilombong pada 2010.

Persoalannya, milik siapakah bitcoin itu?

Pemindahan 1,000 BTC yang berjumlah $11,425,000 mendapat perhatian pelabur profesional matawang kripto, Kirill K.

Walaupun pemilik bitcoin tersebut menjadi misteri dan tidak dikenalpasti, namun ramai menganggap pemindahan aset digital itu ada kaitan dengan pengasasnya, Satoshi Nakamoto yang menghilang secara tiba-tiba pada 2011 ataupun mereka yang berkait rapat dengan Nakamoto.

Mana tidaknya, bitcoin yang dicipta ketika era Satoshi yang aktif pada 2010 tiba-tiba sahaja beralih 10 tahun kemudian! Sedangkan, pemindahan itu boleh dilakukan bila-bila masa sahaja, bergantung kepada keadaan pasaran. Betul tak?

Namun, tidak pasti sama ada sahih atau tidak dakwaan itu memandangkan identiti pemilik bitcoin itu tersembunyi.

Putar semula masa kepada September 2010, ketika Bitcoin baru sahaja berusia kurang dari dua tahun sejak dilancarkan ke dunia, dengan nilai pada ketika itu 10 sen per Bitcoin. Jika dinilai keseluruhan pemindahan aset digital itu, nilai keseluruhannya jauh lebih rendah pada 2010 iaitu kurang daripada $100.

Bayangkan jika individu tersebut menjual asetnya itu hari ini, tidak mustahil akan bergelar jutawan dalam sekelip mata!

Ketua strategi di firma kripto, Ikigai Asset Management, Hans Hauge memandang insiden ini sebagai satu peringatan yang wajar diambil sebagai langkah berjaga-jaga, meminta para pelombong terdahulu untuk berhati-hati ke atas bagaimana mereka memindahkan aset itu agar tidak mengejutkan seluruh pasaran.

Hal ini kerana pemindahan Bitcoin yang tiba-tiba setelah lama tidak diusik dengan jumlah yang besar berpotensi untuk mengganggu pasaran aset digital itu.

Walau bagaimanapun, jumlah transaksi $11 juta  tersebut dijangka tidak akan memberi banyak impak kepada nilai bitcoin memandangkan transaksi harian bitcoin pada masa kini jauh lebih tinggi iaitu mencapai billion AS dolar.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat