6 syarikat Malaysia kini berhadapan dengan sekatan daripada Amerika Syarikat (AS) setelah didakwa terlibat dalam sektor pengilangan Rusia yang menyokong operasi ketenteraan negara itu dalam konflik Ukraine.
Sekatan ini diumumkan pada 30 Oktober, melibatkan Zeolite Mansford Sdn Bhd (Zeolite), Centrina United Sdn Bhd (Centrina), Gyntec Carbon Sdn Bhd (Gyntec), Moralability Industry Sdn Bhd (Moralability) dan Melix Global Sdn Bhd (Melix Global).
Menurut kenyataan daripada Jabatan Negara AS, syarikat-syarikat ini tergolong dalam jaringan global yang membantu menyokong ketenteraan Rusia melalui eksport barangan penting seperti mikroelektronik dan kawalan berangka computer (CNC).
Langkah ini adalah sebahagian daripada sekatan terhadap lebih 400 entiti dan individu di beberapa negara ketiga, termasuk China, India, Malaysia, Thailand, Turkiye, dan UAE.
AS menggambarkan tindakan ini sebagai ‘pengkhianatan’, dengan menekankan bahawa ia berfungsi sebagai perisai bagi Rusia untuk mengelak daripada sekatan yang dikenakan, seterusnya menggagalkan usaha AS untuk meruntuhkan rantaian bekalan penting industri pertahanan Rusia.
Setiap sekatan dibuat berdasarkan Perintah Eksekutif (E.O.) 14024, yang memberi kuasa untuk menyekat entiti yang dianggap terlibat dalam aktiviti berbahaya luar negara.
Pihak AS menegaskan bahawa mereka tidak akan pernah berkompromi dalam menghalang negara ketiga daripada menyokong ekonomi ketenteraan Rusia.